SITUASI semasa banjir di enam daerah di Pahang masih membimbangkan di sebalik air semakin surut di beberapa lokasi lain.
Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengarahkan supaya operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan yang belum surut kekal pada tahap tertinggi.
Pada masa sama katanya, di kawasan yang telah surut jumlah anggota akan ditambah bagi mempercepat kerja-kerja pembersihan.
“Paling penting, saya juga minta Panglima Angkatan Tentera pastikan ATM di Pahang berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir,” katanya.
Menurut Hishammuddin antara daerah paling terjejas akibat banjir di Pahang adalah Lipis, Raub, Bentong, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.
Sejak hari pertama, katanya, ATM dengan kerjasama rapat kerajaan negeri dan setiap agensi terlibat telah memikul tanggungjawab dengan sebaik mungkin bagi memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), menghantar makanan serta barang keperluan serta memasak di PPS.
“Kem Batu Tiga di Temerloh antara kawasan yang dinaiki air dan saya sendiri telah turun ke sini hari ini bagi melihat sendiri situasi terkini dan bertemu ahli keluarga anggota yang terjejas.
“Menerusi taklimat di kem ini oleh ATM, PDRM serta beberapa agensi sebentar tadi, saya difahamkan banjir di kem ini serta sebahagian daerah telah surut,” katanya. – Malaysiapost

