Polis siasat penularan gambar tangkapan Long Tiger

0
3

POLIS Johor telah membuat satu laporan berkaitan dengan penularan gambar Long Tiger yang ditangkap oleh pihak polis semalam susulan ianya dilihat boleh menganggu siasatan dan operasi susulan yang sedang dijalankan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya memandang serius berkaitan kes berkenaan dan tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, beliau juga tidak akan beri nasihat, tetapi telah mengambil tindakan terhadap sama ada pegawai, anggota polis atau orang awam yang menularkan maklumat-maklumat sulit atau gambar-gambar operasi polis di media sosial.

“Setakat ini seorang pemilik akaun Facebook bernama Jebat JD yang menularkan gambar tangkapan polis di Facebook telah dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis sudah mengenalpasti siasap pemilik Facebook ini yang berusia 47 tahun berasal dari Klang dan juga bekas anggota polis,” katanya dalam sidang media, hari ini mengenai kejayaan menangkap semula Long Tiger, tahanan yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak sejak 15 Disember lalu.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengambil tindakan terhadap anggota dan pegawai polis termasuk seorang berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) yang dipercayai membocorkan maklumat operasi polis.

“Seorang koperal polis di Johor berusia 30 tahun dan seorang pegawai polis berpangkat SAC yang terlibat dalam kebocoran maklumat arahan saya pada 16 Disember lalu, kini disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana mendedahkan maklumat sulit.

“Sama ada orang awam, anggota dan pegawai polis yang terbabit menularkan maklumat sulit..saya akan ambil tindakan tidak kira pangkat apa pun,” katanya.

Menurutnya, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan mereka yang menularkan gambar berkenaan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidaklebih setahun atau kedua-duanya, manakala Seksyen 203 Kanun Keseksaan pula jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM1 juta

“Saya tidak akan bagi amaran tetapi akan ambil tindakan. Jadi hentikan, jangan terlalu ghairah nak menular atau menjadi orang pertama menyebarkan berita-berita membabitkan operasi polis

“Kerana dengan pendedahan di media sosial ini menjejaskan operasi susulan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, susulan kes meloloskan diri oleh Long Tiger atau nama sebenarnyasebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, Ayob Khan berkata, setakat ini empat anggota polis disiasat dan ditahan kerja.

“Untuk makluman terdapat empat anggota yang berpangkat sarjan dan tiga koperal yang bertugas di Mahkamah Majistret Tangkak, kini disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga tahanan melarikan diri.

“Kesemua anggota polis yang terbabit secara langsung dalam kes ini adalah berusia 33 hingga 57 tahun itu dan ditahan kerja sehari selepas kejadian meloloskan diri itu berlaku dan kini menunggu kertas siasatan siap untuk dituduh di mahkamah jika ada cukup bukti,” katanya.

Menurutnya, selain empat anggota polis terbabit, pihaknya telah membuka kertas siasatan tatatertib ke atas Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Balai dan juga seorang Inspektor Ketenteraman Awam dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

“Mereka disiasat tatatertib kerana aspek penyeliaan dan apabila siasatan selesai akan diserahkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk penilaian dan tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here