Aduan pengurangan kelajuan pakej Unifi disiasat – SKMM

0
3

Nurul Huda Abhar

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang melakukan siasatan berhubung aduan pengurangan kelajuan muat naik pakej Unifi 500Mbps yang dilancarkan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM).

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam kenyataan, berkata butiran aduan menyatakan TM menawarkan kelajuan muat turun 500Mbps yang dilancarkan Ogos lalu.

Menurutnya, setelah penelitian semula di laman sesawang jualan rasmi TM, pengadu mengesan pakej itu telah berubah sejak 2 September lalu, dengan kelajuan muat naik dikurangkan separuh kepada hanya 100Mbps.

“Aduan ini turut dilaporkan oleh beberapa portal berita dalam talian yang menganggap pengguna terpedaya dengan tawaran yang dibuat dalam pakej awal yang diiklankan bulan lalu.

“Jika siasatan awal mendapati terdapat unsur yang melanggar kepentingan pengguna, SKMM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pemberi perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang dikuatkuasakan oleh SKMM memberi perhatian berat kepada pengguna perkhidmatan telekomunikasi.

“SKMM memberi jaminan siasatan isu ini akan dijalankan secara telus dan adil,” katanya. – Malaysiapost