CUEPACS berasa terkilan dengan beberapa kenyataan terbuka oleh segelintir masyarakat terutama di media sosial yang menuduh pasukan keselamatan lewat menyalurkan bantuan melibatkan kejadian banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata tuduhan itu tidak berasas kerana semua pasukan keselamatan telah digerak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menurutnya banjir luar biasa yang jarang berlaku di Lembah Klang dengan air naik terlalu cepat telah menyukarkan proses menyelamat.
Apatah lagi katanya, kepadatan penduduk yang mencecah jutaan orang mengakibatkan keupayaan menyelamat menjadi terbatas, selain sukar apabila terdapat penduduk enggan berpindah ke kawasan selamat ketika keadaan masih lagi terkawal.
“Apabila air telah naik, sudah tentu ia menyukarkan lagi operasi untuk mengeluarkan mangsa ke tempat yang selamat.
“Pasukan keselamatan yang bertugas telah bertungkus-lumus menyalurkan bantuan. Dengan keadaan banjir yang dahsyat dan kepadatan penduduk, sudah tentu operasi menyelamat menjadi lebih sukar.
“CUEPACS difahamkan terdapat lebih 300 rumah milik anggota pasukan keselamatan turut ditenggelami air banjir dan mereka terpaksa meninggalkan rumah serta keluarga sendiri demi menyelamatkan orang awam.
“Terdapat juga anggota sendiri terperangkap di rumah masing-masing ketika banjir. Kekurangan yang berlaku dalam operasi menyelamat seharusnya tidak diletakkan kesalahannya kepada anggota keselamatan sahaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Adnan berkata faktor kepadatan penduduk, keengganan mangsa untuk pergi ke pusat pemindahan ketika keadaan masih terkawal dan risiko keselamatan perlulah diambil kira oleh semua pihak.
Dalam masa sama katanya, CUEPACS berharap kerajaan memberi perhatian sewajarnya kepada pasukan keselamatan terutama dalam menambah aset-aset baharu dan sesuai untuk misi penyelamatan.
“Telah lama perkara ini tidak diberi perhatian dan kita sendiri lihat anggota keselamatan melakukan tugas menyelamat menggunakan pakaian tidak sesuai dengan operasi.
“Aset dan peralatan yang lengkap dan sesuai membolehkan kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa mengundang risiko kepada anggota.
“Begitu juga jumlah anggota yang tidak mencukupi dan telah lama tidak diberikan kelulusan oleh kerajaan untuk ditambah,” katanya lagi.
Beliau menambah kepadatan penduduk di Lembah Klang menyaksikan anggota keselamatan tidak mencukupi untuk digerakkan ke semua kawasan.
“Bayangkan di sesebuah taman di bandar mempunyai lebih daripada 1,000 penduduk berbeza di kawasan kampung yang hanya mempunyai ratusan penduduk.
“CUEPACS berharap semua pihak terus memberi sokongan kepada pasukan keselamatan negara. Fokus kita sekarang adalah untuk kesiapsiagaan menghadapi banjir dan pasca banjir.
Perbetulkanlah tanggapan salah dan marilah bersama terus menyalurkan bantuan dengan cara masing-masing mengikut kemampuan. Jika tidak dapat membantu, janganlah kita menyukarkan tugas pasukan keselamatan dengan tuduhan tidak berasas,” katanya. – Malaysiapost

