Najib rayu kerajaan luluskan i-Citra RM10,000

0
2

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berharap dan merayu agar kerajaan memberi kelulusan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra kali terakhir RM10,000.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan, berpendapat tiada halangan atau alasan kerajaan tidak memberikan tuntutan rakyat itu yang kini semakin terdesak susulan bencana banjir yang melanda negara.

Menurutnya, tuntutan itu bukan baru berlaku sekarang, tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di mana punca pendapatan rakyat sangat terjejas dan mereka perlu i-Citra untuk pulih kembali kehidupan mereka.

“Keadaan bertambah lagi apabila berlaku musibah banjir..lagi beratlah sebab itu tuntutan semakin bertalu-talu kita lihat disuarakan rakyat. Harap pihak kerajaan memberi pertimbangan dalam hal ini.

“Masih belum ada perkembangan lagi mengenainya..tetapi rakyat tuntut perkara ini kerana ia adalah duit mereka dan mereka dalam keadaan mereka teramat ‘sesak’ ketika ini dan mereka perlu mengeluarkan simpanan mereka,” katanya dalam satu video dikongsikan di Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, cadangan memulihkan kembali simpanan KWSP yang dikeluarkan juga sudah diberikan.

Sementara itu dalam satu lagi hantaran, Najib berkata ramai mangsa banjir yang berkongsi masalah dengannya ketika melawat lokasi banjir di Temerloh hari ini.

“Ramai orang datang ingin berjumpa saya berkongsi masalah mereka. Ya, habis semua barangan tidak boleh guna lagi. Beberapa hari dan minggu akan datang ini mereka juga tidak dapat bekerja untuk kerja pembersihan.

“Susah hati memikirkan keadaan mangsa banjir semua.
Kita perlu cuba bantu apa yang boleh. Ada juga yang bertanya kepada saya bagaimana dengan permintaan untuk i-Citra kali terakhir.

“Bagi saya, dari dahulu lagi saya utamakan kebajikan rakyat.
Mudahkanlah hidup mangsa banjir dan bantu mereka membina semula kehidupan,” katanya.

Beliau turut berharap bantuan keperluan asas bagi mangsa banjir ketika ini adalah mencukupi buat sementara ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here