Keabsahan Proklamasi Darurat dicabar di Mahkamah Persekutuan

0
2

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara lima wakil rakyat yang mencabar di Mahkamah Persekutuan berhubung pengisytiharan darurat dan ordinan dikeluarkan awal tahun ini bagi memerangi wabak Covid-19.

Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili Anwar, berkata anak guamnya memfailkan lapan persoalan undang-undang minggu lepas bagi mendapatkan kebenaran daripada mahkamah tertinggi untuk merit aduan itu didengar.

“Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan menetapkan pengurusan kes pada 26 Januari 2022,” katanya seperti dilaporkan FMT, hari ini.

Sementara itu, peguam Christopher Leong, yang mewakili Ahli Parlimen Hassan Karim (Pasir Gudang), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai) dan Johari Abdul (Sungai Petani), serta ADUN Tebing Tinggi (Perak) Abdul Aziz Bari, berkata semua mereka turut memfailkan permohonan kebenaran minggu lalu.

Semuanya mengemukakan dua persoalan undang-undang lazim.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan kelima-lima individu berkenaan, dengan menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu walaupun kebenaran diberikan kepada pemohon.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, dan Hassan memfailkan permohonan berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Salahuddin, Johari dan Aziz pula memfailkan permohonan bersama di Kuala Lumpur.

Mereka berkata, nasihat diberikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu dan Jemaah Menteri kepada Agong melanggar undang-undang dan tertakluk kepada cabaran undang-undang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here