PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, digesa mengambil tindakan susulan berhubung dakwaan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memiliki hampir dua juta saham dalam syarikat tersenarai awam.
Gesaan itu dibuat veteran DAP Lim Kit Siang yang berpendapat tindakan perlu diambil terutama selepas peletakan jawatan mengejut Edmund Terence Gomez daripada Panel SPRM, sekaligus memberi tanda bahawa ada sesuatu yang sangat buruk sedang berlaku dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia.
“Gomez meletak jawatan sebagai tanda protes terhadap tindakan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM atas dakwaan pemilikan hampir dua juta saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam sebuah syarikat tersenarai awam.
“Gomez berkata beliau telah terlebih dahulu membawa perkara itu kepada perhatian pengerusi panel, Borhan Dolah pada 12 November lalu dan menggesa beliau untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan ‘isu kritikal berkepentingan negara’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, walaupun Borhan pada mulanya memberi maklum balas serta-merta dan bersetuju untuk memanggil panel, mesyuarat itu tidak pernah menjadi kenyataan.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, ketiadaan tindakan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM menyebabkan Gomez berpendapat ia merupakan penyelewengan tugas yang serius kepada negara dan tidak bertimbang rasa serta sangat tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, sebelum ini, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa juga telah memfailkan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membincangkan dakwaan pemilikan hampir dua juta saham Azam dalam sebuah syarikat senaraian awam.
“Sivarasa telah mendakwa bahawa antara 2015 dan 2016, semasa Azam menjadi pengarah siasatan SPRM, beliau telah menjadi pemilik 930,000 saham dalam Gets Global Bhd pada 30 April 2015 dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.
“Sivarasa juga mendakwa, sehingga 21 Mac 2016, Azam juga memiliki 2,156,000 saham dalam senarai awam Excel Force MSC Bhd, manakala adiknya memiliki 3,728,000 saham dalam Gets Global,” katanya.
Beliau berkata, penjawat awam adalah dilarang memiliki lebih RM100,000 nilai saham dalam mana-mana syarikat.
Menurutnya, mereka juga dikehendaki mengisytiharkan semua harta mereka kepada ketua jabatan mereka di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Perdana Menteri, mesti bertindak atas peletakan jawatan mengejut Gomez daripada panel SPRM dan menamatkan ‘konspirasi senyap’ selama dua bulan mengenai dakwaan Ketua SPRM memiliki hampir dua juta saham dalam syarikat senarai awam,” katanya. – Malaysiapost

