Aktivis politik tidak dibenarkan ajar agama Islam di Selangor – MAIS

0
2

TAULIAH yang diberikan kepada aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember ini dan golongan berkenaan tidak dibenarkan mengajar agama Islam di dalam negeri Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata penarikan itu susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak di Negeri Selangor khususnya di masjid dan surau.

Menurutnya, bagi menjaga kesucian agama Islam di Selangor, Sultan Selangor tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

“Ini kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Negeri Selangor serta mencemarkan agama Islam.

“Sultan Selangor turut menitahkan agar tauliah mengajar agama Islam di Selangor yang telah diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, selaras dengan titah itu, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah di Selangor dan mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik akan ditarik balik berkuat kuasa pada tarikh berkenaan.

“Walau bagaimanapun, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

“Pengecualian ini juga adalah selaras dengan titah Sultan Selangor tersebut,” katanya.

Beliau berkata, adalah diingatkan mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen yang sama, di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tiga ribu ringgit atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah satu kesalahan.

“Ia merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995) yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here