ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menafikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terlibat memberi bantuan kepada mangsa banjir, baru-baru ini.
Perkara itu disahkan Panglima ATM, Tan Sri Jeneral Affendi Buang yang menegaskan, tiada sebarang bantuan disalurkan PBB kepada mangsa banjir di Malaysia seperti klip video yang tular di media sosial.
“Penularan video berdurasi seminit memperlihatkan pergerakan beberapa trak tiga tan berlogokan United Nations (UN) serta berwarna putih atas keterlibatan pertubuhan antarabangsa itu membawa masuk bantuan banjir kepada Malaysia sepertimana ditularkan melalui Facebook peribadi atas nama Jong Senow dan Nazimah Ibrahim, masing-masing pada 24 dan 7 Disember 2021 tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Affendi menjelaskan, klip video itu sebenarnya memaparkan proses” Final Acceptance Test” (FAT) dilaksanakan ATM sebelum kenderaan tersebut diatur gerak ke Lubnan untuk kegunaan Kontinjen MALBATT 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL).
Justeru, Affendi berharap orang ramai tidak mudah membuat andaian dan menularkan perkara tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik masyarakat.
“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh di dakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” tegasnya. – Malaysiapost

