BENCANA banjir yang melanda beberapa negeri minggu lalu turut meraih simpati jaguh lumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang.
Meskipun berada di perantauan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 itu tetap mengambil inisiatif membantu meringankan beban mangsa banjir menerusi kumpulan yang diberi nama TeamAzizul.
“Alhamdulillah syukur kehadrat ilahi. Atas rasa bertanggungjawab dan prihatin, kami dari TeamAzizul telah mengambil inisiatif membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa tempat seperti Temerloh dan Sepang buat waktu ini.
“TeamAzizul membuat bantuan secara terus kepada mangsa-mangsa dengan bantuan NGO tempatan yang sangat prihatin dan membantu.
“Kami telah menghantar bantuan bahan kering dan minuman serta waterpump untuk memudahkan mereka melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Azizulhasni menambah, TeamAzizul merancang untuk membantu lebih ramai mangsa banjir dengan membuka peluang kepada orang ramai untuk membuat sumbangan dalam misi kemanusian berkenaan.
“Untuk projek seterusnya, kami cuba untuk menghulurkan bantuan kepada setiap keluarga dengan 1 set periuk nasi + 1 dapur gas 2 burner + tilam dan bantal yang memerlukan kos sebanyak RM300 untuk satu keluarga.
“Jika ada daripada anda yang berminat untuk bersama-sama membantu rakan-rakan kita yang didalam kesusahan, anda boleh menyumbang ke akaun Mohamad Uzir Bin Ahmad, Maybank 564155553941 (Reference – TeamBantuBanjir).
“Barang siapa menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat.(HR Muslim),” katanya. -Malaysiapost

