MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang didakwa ‘hilang’ ketika banjir melanda negara, mengakui telah ‘terbang’ ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu anak-anaknya.
Bagaimanapun Timbalan Presiden Bersatu itu menjelaskan beliau hanya berada di Dubai selama 12 jam sebelum pulang semula ke tanah air susulan hati berasa tidak tenteram mengenangkan negara berdepan musibah banjir.
Menjelaskan mengenainya, Ahmad Faizal berkata anak-anaknya berada di United Kingdom (UK) namun disebabkan kes Covid-19 varian Omicron yang tinggi, pertemuan keluarga itu dirancang di Dubai.
“Memang saya ada mohon cuti dan bila diluluskan, saya ke Dubai pada hari Rabu lalu untuk bertemu anak-anak. Namun begitu, melihatkan keadaan banjir yang melanda negara, hati saya jadi tak tenteram.
“Jadi, saya buat keputusan untuk beli tiket pulang hanya selepas kira-kira 12 jam berada di sana.
“Saya sempat duduk berbual seketika dengan anak-anak sebelum berlepas pulang pada jam 8 pagi Khamis, sebelum arahan pulang dibuat Perdana Menteri,” katanya seperti dilaporkan UtusanTV.
Beliau kini menjalani kuarantin kendiri di ibu negara dan memohon maaf serta mengakui kelemahan.
“Saya tahu saya penjawat awam, saya sedar kepentingan rakyat lebih didahulukan. Itu pengorbanan yang perlu dibuat.
“Saya minta maaf, saya mengaku ada banyak kelemahan. Walaupun saya menteri dan tidak sempurna tetapi tidak sampai tahap mahu menyisihkan rakyat.
“Saya faham semua penderitaan kerana saya juga pernah berada dalam situasi sukar. Tiada kerja dan sebagainya,” katanya memetik portal tersebut.
Ahmad Faizal bagaimanapun berkata beliau telah mengadakan mesyuarat secara maya bagi menggerakkan sukarelawan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu mangsa banjir yang terkesan. – Malaysiapost

