AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi Penggal ke-15.
Nama beliau dicadangkan Adun Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan kemudian disokong Adun Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, lapor Melaka Hari Ini.
Khaidhirah atau lebih dikenali sebagai Dira, 37, menjadi wanita pertama dilantik memegang jawatan itu.
Beliau merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin.
Dibesarkan di Kampung Rim, Jasin, Dira adalah pemegang Sarjana Dasar Awam Universiti Malaya dan mula aktif dalam politik pada tahun 2015.
Pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini, beliau menang kerusi DUN Rim dengan majoriti 1,327 menewaskan dua lagi calon selepas memperoleh 4,037 undi.
Dua lagi calon iaitu Azalina Abdul Rahman (PN) meraih 2,710 undi manakala Prasanth Kumar (PH) dengan 2,163 undi. – Malaysiapost

