POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tampil menjelaskan berhubung video tular yang memaparkan kenderaan pacuan 4×4 dan sebuah ambulan milik Persatuan Bulan Sabit Merah berhenti di persimpangan jalan bagi memberi laluan kepada konvoi yang diringi Polis Trafik.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata anggota sentiasa diarahkan memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan seperti membawa pesakit.
Menurutnya, anggota yang bertugas di persimpangan berkenaan telah membuat penilaian awal sebelum memberhentikan kedua-dua kenderaan tersebut untuk tempoh masa yang singkat.
“Ini memandangkan jarak pendahulu konvoi (lead vehicle) yang telah tiba hampir ke persimpangan berkenaan.
“Dalam keadaan yang ditunjukkan dalam video tersebut, sekiranya anggota trafik di persimpangan memberi keutamaan jalan kepada pacuan 4×4 dan ambulan milik Persatuan Bulan Sabit Merah yang hendak keluar dari simpang ke jalan utama, ianya tindakan yang akan mewujudkan risiko kemalangan seta membahayakan pengguna jalan raya.
“Oleh yang demikian, konvoi yang berada di jalan utama telah diberikan keutamaan laluan bagi mengelak kemalangan selain mengambil kira penilaian awal yang sudah dilaksanakan oleh anggota trafik berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, sebaik sahaja konvoi melepasi persimpangan tersebut, anggota trafik telah mengambil langkah segera bagi memberi keutamaan jalan kepada ambulan dan kenderaan pacuan 4×4 berkenaan setelah mendapati tiada risiko kemalangan berlaku.
“PDRM sentiasa peka dan komited dalam member keutamaan kepada kepentingan awam, khususnya apabila penugasan melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kenderaan kecemasan terutama ambulan dan bomba,” katanya.
Kejadian yang berlaku semalam itu sewaktu rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perjalanan melawat mangsa banjir dari Taman Sri Nanding, Hulu Langat ke lokasi lain di Masjid Al-Mustaqqim, Batu 16 Hulu Langat dengan diringi oleh Polis Trafik.
Terdahulu, tular di laman Twitter video memaparkan sebuah ambulans perlu berhenti bagi memberikan laluan kepada kenderaan yang dipercayai orang kenamaan (VIP).
Hantaran itu mengundang kemarahan netizen yang berpendapat perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kenderaan yang dihenti itu sudah tentu lebih diperlukan untuk rawatan segera mangsa banjir. – Malaysiapost

