KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki memohon Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendengar suara rakyat dan bukannya nasihat Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkenaan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, kelulusan pengeluaran KWSP i-Citra sebanyak RM10,000 itu sangat diperlukan rakyat ketika ini kerana bantuan yang diberikan masih belum mencukupi.
“Dengarlah rintihan rakyat, usahlah dengar nasihat Tengku Zafrul. Alasan yang diberikan untuk menafikan pengeluaran KWSP sama sahaja dengan alasan waktu kami bersemuka dengan Menteri Kewangan apabila beliau mempertahan pendirian untuk tidak membenarkannya waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi.
“Bantuan RM1,000 tidak mencukupi terutama bagi mereka yang mengalami musibah banjir. Apatah lagi jika nak bergantung kepada pendekatan memberikan pinjaman,” katanyanya dalam hantaran Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, Pemuda Umno telah berusaha pelbagai cara membawa suara rakyat termasuk bertemu sendiri dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Menteri Kewangan bahkan Perdana Menteri sendiri.
“Harap-harap lah ini bukan keputusan akhir Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Dengar lah rintihan rakyat yang mahukan bantuan i-Citra ini, lebih-lebih lagi terlalu ramai yang mahu kembali memulakan kehidupan dan perniagaan akibat terkesan dengan musibah yang melanda,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran tersebut, kerana sudah memperuntukkan dana dan mengumumkan bantuan mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara, selain sedia menambah peruntukan berkenaan.
Kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar ketika pencen nanti. – Malaysiapost

