PASUKAN Bencana Istana Negara yang ditubuhkan atas cetusan idea Yang di-Pertuan Agong meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir di empat daerah di Selangor iaitu Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Langat semalam.
Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, ia memaklumkan pasukan itu ditubuhkan bertujuan menghulur bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang hilang tempat berteduh serta mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda susulan bencana banjir.
“Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan amat bersimpati dengan ujian serta keperitan ditanggung mereka dan menzahirkan harapan semoga bantuan serta sumbangan dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka,” tulis hantaran itu.
Pasukan Bencana Istana Negara diterajui Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zahari Yahya, yang juga Juruiring Udara kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seramai 120 pegawai dan kakitangan Istana Negara tampil menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir pada misi semalam.
Sumbangan yang dihulurkan berbentuk barang keperluan harian seperti barangan pembersihan diri, pakaian, tuala, makanan kering dan air, termasuk Covid-19 kit.
Pasukan itu juga turut membantu mangsa banjir membersihkan masjid dan rumah mereka yang terjejas. – Malaysiapost

