KERAJAAN akan membentuk pasukan petugas khas (Task Force) pasca banjir bagi memudahkan koordinasi antara agensi berkaitan dengan pengurusan bencana itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata task force tersebut akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dan mesyuarat pertama akan berlangsung esok.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan dianggotai Ketua-ketua agensi yang terlibat seperti Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat dan lain-lain yang akan ditentukan oleh KSN.
“Saya bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi pasca banjir dan persediaan gelombang ke dua kerana dari segi ramalan cuaca ia berkemungkinan akan berlaku.
“Kerja-kerja pasca banjir itu lebih besar dan rumit kerana bukan sahaja dari segi pembersihan memerlukan koordinasi dan kerjasama dari agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya yang melibatkan keperluan dan alatan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, pasukan Task Force itu juga menguruskan pembahagian sumbangan daripada NGO dan pihak lain bagi melancarkan operasi bantuan pasca banjir.
Katanya, ia termasuk sumbangan wang ihsan, atur kerja baik pulih rumah dan sebagainya perlu dilakukan dengan tersusun agar dapat diselesaikan dengan segera. – Malaysiapost

