Tiada pengeluaran RM10,000 caruman KWSP – Ismail Sabri

0
2

KERAJAAN tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana kerajaan telah memperuntukkan dana dan bantuan yang mencukupi untuk membantu mangsa banjir, selain sedia menambah peruntukan tersebut.

Perdana Menteri menjelaskan kerajaan bimbang jika ia dibenarkan, baki simpanan pencarum akan terus berkurangan selepas kerajaan dua kali membenarkan pengeluaran KWSP menerusi i-Sinar dan i-Citra.

Malah katanya, ada antara pencarum berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen, lapor Berita Harian.

“Ada banyak kemudahan diumumkan kepada mangsa banjir. Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, TEKUN menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium, tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.

“Bagi yang mahu beli barang keperluan rumah, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan beri pinjaman persendirian RM10,000 tanpa faedah, dan moratorium selama enam bulan.

“Kerajaan sudah sediakan kemudahan ini. Jika apa yang disediakan ini digunakan, Insya-Allah ia boleh membantu mangsa banjir,” katanya pada sidang media di Masjid Al-Muttaqin di Hulu Langat hari ini.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara yang lantang menuntut kerajaan membenarkan pengeluarkan RM10,000 secara ‘one off’ menerusi i-Citra KWSP.

Menurut kedua-dua pemimpin itu, ini kerana rakyat semakin terdesak bukan sahaja disebabkan kesan pandemik Covid-19, malah terbaharu akibat banjir besar melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan pengeluaran khas KWSP menerusi i-Sinar pada Mac lalu, dengan had pengeluaran antara RM10,000 hingga RM60,000 bagi mengurangkan impak pandemik.

Kerajaan kemudian mengumumkan pengeluaran khas kedua menerusi i-Citra bermula Ogos lalu, dengan had pengeluaran RM5,000.

Ismail Sabri berkata, kerajaan keberatan meluluskan pengeluaran khas ketiga kerana ramai pencarum kini memiliki jumlah simpanan terlalu sedikit untuk persediaan hari tua.

“Tujuan KWSP adalah untuk simpanan hari tua selepas pencen. Selepas pengeluaran khas dua kali sebelum ini, 20 peratus pencarum hanya tinggal baki RM1,000.

“Kalau RM1,000, apabila pencen nanti, automatik mereka akan jadi miskin tegar. Ini yang saya risaukan.

“Malah hampir 95 peratus daripada pencarum yang miliki baki simpanan RM1,000 itu adalah orang Melayu dan Bumiputera. Kita kena sedar perkara ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here