Nurul Huda Abhar
SEORANG pemuda yang kini tular dengan gelaran ‘Abang Viva’ atau Azwan Omar, 29, menyeru orang ramai yang mempunyai bot persendirian dan berkelapangan agar turun memberi pertolongan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir.
Sebuah video berdurasi 26 saat yang dimuat naik di laman sosial menunjukkan Azwan yang sedang berdiri di sebelah Perodua Viva berwarna hitam, meminta orang ramai keluar membantu mangsa banjir.
“Saya nak minta bantuan semua la mana yang berkemampuan, mana yang senang-senang tu. Yang ada bot tu kita sama-sama bantu orang yang susah, mangsa banjir ni.
“Banyak lagi yang mereka perlu bantuan,” katanya dalam video tersebut.
Azwan yang berasal dari Melaka mencuri tumpuan ramai selepas tular tekad bergerak dengan sebuah Viva dan bot di bumbung kereta, bertujuan menghulur bantuan kepada mangsa banjir di Lembah Klang.
Bot hitamnya itu dikatakn telah menyelamatkan berpuluh-puluh mangsa banjir, beliau antara individu perseorangan yang awal tiba memberikan pertolongan.
Terkini, kelibat ‘Abang Viva’ dilihat berada di Pahang, bagi meneruskan misi membantu mangsa banjir.
Dalam perkongsian di media sosial, kehadiran Azwan ke Lembah Klang hanya berbekal duit sebanyak RM50 sahaja.
Dengan jumlah wang itu, sebanyak RM20 digunakan untuk membeli minyak bot manakala selebihnya dibuat membeli makanan sebagai alas perut.
Azwan bekerja sebagai operator mesin dan memohon cuti kecemasan dari majikannya untuk ke Shah Alam bagi menyelamatkan mangsa banjir.
Antara mangsa banjir yang diselamatkan ialah pasangan warga emas termasuk suami yang lumpuh dan seorang ibu dengan bayi yang baru dilahirkan. – Malaysiapost

