Krismas: Patuhi SOP, waspada jangkitan varian Omicron – Muhyiddin

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung jangkitan Covid-19 terutama penularan Omicron ketika meraikan sambutan Krismas, hari ini.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, pastinya sambutan kali ini agak berbeza, khususnya kepada mereka yang terlibat dalam bencana banjir yang melanda negara hari minggu lalu.

“Dalam keadaan hujan dan cuaca yang tidak menentu ketika ini, kita juga haruslah berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga mengenai kemungkinan berlaku banjir di kawasan masing-masing.

“Sentiasalah berjaga-jaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Semoga kita semua dan seluruh rakyat terhindar dari sebarang bahaya,” katanya menerusi Facebook.

Muhyiddin turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mereka yang terkorban dalam bencana banjir, minggu lalu.

“Saya doakan anda semua diberi kecekalan dan dipermudah urusan untuk bangkit kembali,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu turut mengucapkan Selamat Hari Natal kepada rakyat Malaysia yang menyambutnya hari ini.

“Semoga perayaan ini dapat mengeratkan lagi permuafakatan dan hubungan baik sesama kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here