MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan bahawa beliau hanya melambai dari dalam kereta kepada mangsa banjir, dan menyifatkan dakwaan tersebut bersifat berat sebelah.
Beliau berkata, video yang disunting sebuah portal tempatan yang tular itu adalah laporan tidak benar.
“Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan misi bantuan banjir Kerajaan Negeri Pahang di media sosial maklum mengenai tindakan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri.
“Video yang dibuat oleh Malaysiakini yang mengatakan saya hanya melambai dari dalam kereta adalah satu laporan yang tidak benar dan berat sebelah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Menerusi laporan MalaysiaKini, Wan Rosdy dikatakan hanya melalui dan tidak turun daripada kereta ke kawasan Taman Chegar Medang di Bentong, salah satu kawasan yang teruk dilanda banjir.
Seorang mangsa yang dikenali sebagai Zalmiah, berkata rombongan Menteri Besar hanya ‘bye-bye’ ketika melalui kawasan perumahannya. – Malaysiapost

