45,324 mangsa masih berada di PPS

0
1

SERAMAI 45,324 orang daripada 13,065 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri, hari ini.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 290 PPS di Pahang, Selangor, Kelantan, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Di ibu negara, Info Bencana JKM menunjukkan 234 mangsa masih berada di sebuah PPS setakat semalam.

Di Pahang, sebanyak 25,318 orang berada di 179 PPS yang beroperasi di semua daerah kecuali Rompin dan Cameron Highlands setakat jam 9 pagi tadi.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula menyatakan tiga sungai berada di paras melebihi bahaya iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Sungai Kundang (Maran) dan Sungai Bera (Bera), namun sungai itu menunjukkan trend menurun.

Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan pula berada di paras amaran.

Di Selangir, Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir pada awal pagi Sabtu meningkat kepada 18,484 orang di 99 PPS di negeri itu berbanding 17,656 orang malam Jumaat.

Di Kelantan, 862 mangsa banjir masih ditempatkan di lima PPS yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas, setakat jam 8.18 pagi Sabtu.

Lima PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan Masjid Mukim Padang Licin.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Di Negeri Sembilan, mangsa banjir di negeri itu adalah 292 individu daripada 84 keluarga dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu.

Sementara Melaka, jumlah mangsa banjir turun kepada 35 orang daripada 12 keluarga setakat jam 8 pagi ini..

Di Perak, jumlah mangsa banjir ialah 99 orang daripada 25 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak sejak seminggu lepas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here