LUAS terima laporan air Sungai Gong berwarna hitam

0
2

LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Gombak berhubung insiden air Sungai Gong, Rawang, yang berwarna hitam tengah hari tadi.

LUAS dalam kenyataan memaklumkan insiden berkenaan dikesan pada jam 12.11 tengah hari di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Namun, tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan.

Kata kenyataan itu, hasil siasatan mendapati air sungai berkenaan berwarna hitam bagaimanapun tiada bau dan ia disyaki disebabkan oleh pewarna.

“LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan berisiko menyebabkan henti tugas LRA utama di bahagian hilir Sungai Selangor.

“Siasatan juga mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih dari discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di kawasan Perindustrian Rawang,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, LUAS memaklumkan pensampelan sudah dijalankan oleh pihaknya dan mendapati kandungan Ammonia adalah sebanyak 5.2 mg/I (milligrams per liter) dan jumlah pepejal terampai (TSS) adalah 47 mg/I.

Katanya, pihak IWK juga memberhentikan aliran dari pam masuk (incoming pump) dan seterusnya menghentikan pelepasan discaj efluen.

“Siasatan yang dijalankan LUAS bersama pihak Air Selangor di River Monitoring Station (RMS) Country Home Rawang mendapati sampel aliran air berwarna hitam itu menunjukkan tiada bau dan minyak dikesan namun ia berwarna hitam.

“Siasatan diteruskan ke Sungai Sembah iaitu aliran sebelum masuk ke Sungai Selangor untuk pensampelan ‘in-situ’ dan mendapati tiada bau dan tiada warna kehitaman.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan LUAS bersama agensi berkaitan,” katanya. -Malaysiapost