MANGSA yang terselamat ketika kejadian keracunan gas karbon monoksida di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Pulau Pinang, semakin stabil.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata keadaan Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, ketika ini semakin stabil berbanding semalam yang masih kritikal.
“Mangsa masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur dan doktor di sana memantau secara rapi keadaan gadis itu dari semasa ke semasa.
“Pihak polis juga sentiasa mendapatkan maklumat keadaan mangsa dari semasa ke semasa daripada pasukan perubatan di sana, mari kita sama-sama doakan semoga dia cepat sembuh,” katanya seperti dipetik Bernama.
Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan kembar Nor Aqilah, Nor Adilah meninggal dunia.
Mereka ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah dekat sini, dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur ketika berehat dalam kereta itu.
Mereka ketika itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena Hari Malaysia.
Empat sahabat berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta berkenaan dalam keadaan enjin masih terpasang oleh bapa Ayuni Shazwani. -Malaysiapost

