PRN Sabah: Sambung semula projek jika BN menang

0
2

KERAJAAN Persekutuan akan memastikan semua projek yang dihentikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini disambung semula termasuk projek di bawah Lebuh Raya Pan Borneo, jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika dia menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), ada beberapa permohonan dikemukakan kepadanya daripada wakil rakyat di kawasan DUN Gum-Gum.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia termasuk air bersih dan jalan raya di Kampung Memanjang yang terletak dalam kawasan DUN itu.

“Air bersih telah pun dilaksanakan dan (peruntukan) jalan telah pun diluluskan.

“Tapi bila bertukar saja pemerintahan, jalan itu diberhentikan. Kita akan pastikan setiap yang telah diberhentikan akan disambung semula,” katanya ketika Program Ziarah Kasih di Pusat Daerah Mengundi Kampung Memanjang di Sandakan, hari ini.

Yang turut hadir ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Gum-Gum, Suhaimi Nasir.

Ismail Sabri berkata, projek yang bakal disambung semula jika BN memenangi PRN itu adalah jalan raya sepanjang lapan kilometer ke Kampung Memanjang yang sekarang masih tidak berturap.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, tiada keperluan untuk membuat sekatan pergerakan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di pantai timur Sabah kerana kes yang berlaku di Tawau adalah dalam penjara yang tertutup.

Katanya, sebuah bangunan khusus dalam Penjara Tawau juga sudah diwujudkan bagi menempatkan mereka yang disyaki mempunyai kontak dengan kes positif.

“Saya baru bercakap dengan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), belum perlu mengadakan sekatan.

“Kalau benda berterusan (kes positif meningkat), mungkin kita akan umumkan sesuatu tapi setakat ini KKM cakap tak perlu,” katanya.

Mengenai cadangan memberi peluang kepada kes positif Covid-19 untuk mengundi, Ismail Sabri berkata, mereka yang bergejala biarpun belum disahkan positif akan disediakan tempat khas mengundi, manakala yang masih dirawat di hospital masih tidak dibenarkan untuk mengundi.

Katanya, biarpun mereka berhak untuk mengundi, tetapi banyak risiko perlu dilihat termasuk memerlukan pegawai yang menjaga tempat mengundi memakai pakaian pelindung diri (PPE). -Malaysiapost