KORBAN bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri sejak Sabtu lalu kini mencecah angka 41 orang dan lapan mangsa masih dilaporkan hilang setakat jam 8 pagi hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu seramai 25 mangsa, manakala Pahang seramai 15 mangsa dan seorang korban di Kelantan.
Menurutnya secara keseluruhan seramai 26 lelaki dewasa dan 13 wanita dewasa serta dua kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat banjir di tiga negeri berkenaan setakat ini.
“Daripada 25 jumlah kematian direkodkan di Selangor, 17 kes adalah membabitkan lelaki dewasa, manakala lapan lagi kes terdiri daripada wanita dewasa.
“Kematian di Pahang membabitkan lapan kes lelaki dewasa, lima lagi kes wanita dewasa, manakala dua kes kematian lagi, kanak-kanak lelaki.
“Di Kelantan pula membabitkan seorang lelaki dewasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, lapan mangsa yang hilang adalah membabitkan tujuh lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak yang semuanya diaporkan di Pahang. – Malaysiapost

