Peluang akhir PATI hingga Jun 2022 – Hamzah Zainudin

0
2

TIADA lagi peluang akan diberikan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) sebaik tempoh Program Rekalibrasi untuk penghantaran pulang secara sukarela ke negara asal tamat pada Jun 2022.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata tindakan sangat tegas akan dikenakan terhadap PATI yang tidak mengambil kesempatan peluang yang diberikan itu.

Beliau berkata, ini kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak berhasrat untuk melaksanakan program seumpama itu lagi.

“Semua PATI perlu sedar dan menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia tidak menerima keberadaan mereka di dalam negara ini tanpa dokumen yang sah dan teratur.

“Oleh itu, dengan pelanjutan tempoh Program Rekalibrasi Pulang sehingga 30 Jun 2022, saya berharap agar PATI yang masih belum tampil kehadapan mengambil kesempatan ini untuk pulang ke negara asal secara sukarela dan terhormat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, sejak program Program Rekalibrasi Pulang itu dilaksanakan mulai Disember 2020, seramai 192,281 orang PATI telah berdaftar untuk pulang secara sukarela dan 162,827 orang telah pulang ke negara asal masing-masing.

“KDN dan JIM tidak berhasrat untuk melaksanakan program seumpama ini lagi dan akan mengambil tindakan sangat tegas terhadap PATI yang didapati melanggar undang-undang dalam negara atau berada di dalam negara ini secara tidak sah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here