YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah supaya semua pihak bekerjasama membantu mangsa yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negara sejak Sabtu lalu.
Baginda sendiri akan turut membantu dan mengikuti rapat perkembangan semasa situasi banjir di beberapa negeri.
“Saya harap semua pihak harus berganding bahu membantu sama ada orang perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat dan tambah-tambah lagi kerajaan serta agensi-agensi kerajaan.
“Harus tampil membantu sekadar mana yang mampu supaya dapat membantu mereka ini (mangsa banjir).
“Ini termasuklah saya juga,” titahnya ketika mencemar duli melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Penchala, Kuala Lumpur, hari ini.
Baginda turut menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap nasib yang ditimpa mangsa banjir serta berharap mereka semua bersabar dengan ujian dihadapi ini.
“Apa yang boleh saya nyatakan, begitu amat sedih dan simpati namun kita semua harus menerima ujian Allah ini dan harus bersabar..banyakkan bersabar.
“Kerana mana-mana pihak yang bersabar pasti akan diberi kebaikan kemudian hari nanti,” titahnya.
Sementara itu, berhubung situasi banjir di Sungai Penchala, Baginda dimaklumkan bantuan sewajarnya akan diberi kepada mangsa yang terjejas.
“Saya dapat penjelasan tadi dan saya harap segala siasatan terhadap tempat ini dapat dibuat dengan secepat mungkin.
“Dalam pada itu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyatakan untuk menempatkan sebahagian daripada penduduk di sini ke satu tempat dan saya akan mengambil tahu perkembangan lanjut mengenainya. Insya-Allah mereka akan diberi tempat” titahnya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Istana Negara

