Tragedi bot karam: 11 jenazah warga Indonesia dipulangkan

0
2

PROSES pemulangan jenazah warga Indonesia yang identiti dikenal pasti dalam kejadian bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada 15 Disember lalu, mula dilaksanakan semalam melalui jalan laut.

Menerusi kenyataan Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) memaklumkan, proses pemulangan itu membabitkan 11 jenazah dengan menggunakan Kapal Patroli Polisi Perairan Indonesia KP Laksamana 7012.

“Proses serah terima dilaksanakan di Johor Port, kepada Satgas Misi Kemanusiaan Internasional yang terdiri daripada Kementerian Luar Negeri, Kepolisian Republik Indonesia dan Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI),” menurut kenyataan itu.

KJRI turut menzahirkan penghargaan atas bantuan daripada semua pihak yang terbabit dalam proses pemulangan jenazah terbabit ke Indonesia.

“KJRI juga ingin menyampaikan ucapan belasungkawa atas pemergian warganegara Indonesia dalam musibah tersebut. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan dan keikhlasan,” katanya.

Dalam pada itu, KJRI menasihati warganegara Indonesia yang akan bekerja di luar negara supaya mengikuti prosedur selamat dan tidak termakan pujukan pihak lain yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri.

Dalam kejadian 15 Disember lalu, sebuah bot membawa kira-kira 50 pendatang tanpa izin warga Indonesia, karam di perairan Tanjung Balau, kira-kira jam 4.30 pagi.

Insiden itu mengorbankan 21 orang dan 13 terselamat, manakala 16 lagi dipercayai hilang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here