ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan bertindak terus melaksanakan operasi menyelamat mangsa banjir tanpa perlu menunggu arahan pihak lain kerana arahan sudah diberikan lebih awal.
Panglima ATM Tan Sri Affendi Buang, berkata arahan bersiap siaga kepada ATM untuk terlibat dalam operasi banjir telah diterima daripada peringkat atasan sejak dua bulan lepas.
“Pengarahan dari atas sejak dua bulan lepas, kata siap siaga, kalau dah air naik saya tidak tunggu lagi jika saya ada anggota dan aset sedia, saya akan selamatkan orang awam dahulu nak tunggu apa lagi,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Mengulas mengenai operasi menyelamat banjir, Affendi mengakui tindakan menyelamat agak kelam-kabut pada peringkat awal dan memang sentiasa berlaku dalam keadaan bencana di mana-mana tempat.
“Kalau di Amerika Syarikat pun, ketika taufan berlaku mereka juga menghadapi masalah yang sama tetapi itu tidak semestinya menjadi titik noktah, kita perlu perbaiki dari situ.
“Sudah tentu pada hari pertama, keadaan kelam-kabut tetapi sekiranya semua orang berusaha bersama-sama dan memainkan peranan mereka, kita boleh selesaikannya dan kurang orang yang menderita,” katanya sambil menambah waktu bencana ketika ini, semua pihak perlu bekerjasama.
Beliau berlata, pada waktu bencana, tidak ada satu sistem pun yang betul untuk memenuhi semua jenis musibah dan satu-satunya cara adalah semua orang bekerjasama dan menyelesaikannya.
“Memang pada mulanya kita akan kelam-kabut tetapi selepas menempuhnya semua akan diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata ATM kini bersedia untuk menghadapi musim monsun yang biasanya akan mengakibatkan banjir di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
“Ingin saya ingatkan bahawa untuk bencana banjir ini, saya fikir kita harus bersedia, (situasi) terburuk belum berakhir. Monsun ini belum sampai lagi di kawasan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang merupakan kawasan tradisi.
“Jadi anggota kami semua berada di sana untuk memastikan jika apa-apa berlaku mereka akan berada ditempatnya,” katanya. – Malaysiapost

