Bantuan Wang Ihsan mangsa banjir dipermudah, dipercepatkan – NADMA

0
2

KERAJAAN melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kewangan telah mengambil langkah memudahkan proses permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi mangsa banjir di seluruh negara

Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Aminuddin Hashim, berkata kemudahan yang dilaksanakan adalah bagi mangsa yang berpindah dan mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak perlu membuat permohonan.

“Pendaftaran di buat mangsa di PPS akan digunakan sebagai bukti mangsa terjejas dengan bencana tanpa perlu membuat permohonan

“Bagi mangsa yang tidak berpindah mereka hanya perlu mendaftar dengan ketua Komuniti di tempat masing-masing,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, bantuan BWI membabitkan dua kategori iaitu sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sama ada yang berpindah atau tidak berpindah ke PPS.

Beliau berkata, bantuan kategori itu akan disegerakan agar dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana banjir ini

“Kerajaan juga amat simpati kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan orang tersayang akibat bencana banjir yang luar biasa ini. Justeru kerajaan bersetuju memberikan RM5,000 bantuan pengurusan kematian kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir,” katanya.

Beliau berkata, antara syarat kelayakan bagi mendapatkan BWI adalah warga Malaysia dan memiliki kad pengenalan diri yang sah; mestilah mangsa bencana ketika bencana berlaku; mendiami premis atau rumah yang dinyatakan; wajib mendaftar nama dan maklumat lengkap menggunakan nama ketua isi rumah; dan pendaftaran nama yang di PPS yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, jika tidak berpindah ke PPS, hendaklah mendaftar dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau Ketua Kampung dan Penghulu di tempat masing-masing

“Sekiranya tidak mempunyai kad pengenalan, kita faham dan memadai sekadar mereka merujuk kepada ketua Komuniti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, selain itu kerajaan juga akan mempercepatkan penyaluran peruntukan kepada kerajaan negeri selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dengan penyaluran mulai esok.

“Justeru, JPBN juga diminta menyegerakan penyaluran bantuan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here