
SELURUH masyarakat beragama Islam diseru untuk melaksanakan solat hajat dan membaca surah Yassin bagi memohon keselamtan dan kesejahteraan buat negara serta seluruh rakyat yang kini dilanda musibah banjir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata pihaknya telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Yaasin selepas solat Maghrib pada malam ini.
Beliau berkata, ia akan diadakan di tiga masjid utama di bawah seliaan Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
“Saya juga memohon kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Yaasin di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.
“Pada malam ini, saya dan anggota agensi hal ehwal Islam akan bersama-sama para jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Idris turut memohon kerjasama dan jasa baik Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk turut sama mengadakannya di masjid dan surau di seluruh negeri-negeri untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan.
“Saya mendoakan agar mangsa-mangsa banjir dan seluruh keluarga, anggota keselamatan, petugas barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak diberikan keselamatan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan misi bantuan,” katanya. – Malaysiapost
