BEKALAN elektrik di 409 kawasan di Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur yang terjejas akibat banjir besar kembali pulih setakat jam 12 tengah hari tadi.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Facebook TNB Careline memaklumkan, bekalan elektrik pulih di 272 kawasan di Pahang, 22 kawasan di Negeri Sembilan dan 11 kawasan di Kuala Lumpur.
“Jika banjir sudah surut, tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, besar kemungkinan pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” katanya.
Selain itu, sebanyak 225 kawasan di tiga negeri berkenaan masih belum mendapat bekalan elektrik berikutan penutupan bekalan oleh TNB untuk keselamatan pengguna setempat.
Jumlah lokasi yang terbabit adalah 216 kawasan di Pahang, enam di Negeri Sembilan dan tiga di Kuala Lumpur.
“Usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terbabit dapat disalurkan secara berperingkat, tetapi bergantung kepada akses dan keadaan setempat,” katanya.
Selain itu, TNB turut menasihatkan pengguna supaya kekal selamat dan sentiasa berhati-hati.
“Jangan bermain air banjir atau sentuh, potong atau menarik pokok tumbang berdekatan talian elektrik. Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,” katanya. – Malaysiapost
Sumber: Facebook/TNB Careline

