KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM15.12 bilion

0
3

Muhammad Mustakim Ramli

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion bagi suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2020.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias, berkata ekuiti yang menyumbang 54 peratus kepada jumlah pendapatan kasar, mencatatkan RM8.11 bilion.

Katanya, bagi instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM6.17 bilion, manakala sektor Hartanah dan Infrastruktur serta Instrumen Pasaran Wang masing-masing menyumbang RM0.47 bilion dan RM0.37 bilion.

“Pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM13.46 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keadaan yang mencabar serta tidak menentu bermula awal 2020 lalu tidak menunjukkan tanda ia akan pulih kepada sediakala berikutan isu-isu seperti ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta penurunan harga minyak yang masih lagi berterusan tanpa jalan penyelesaian.

“Malah, memburukkan lagi keadaan apabila Covid-19 melanda negara-negara yang kurang bersedia untuk menghadapinya.

“Perintah berkurung yang dilaksanakan oleh ekonomi utama dunia serta penutupan sempadan turut menjejaskan rangkaian bekalan, seterusnya mengakibatkan kemerosotan dalam pelbagai sektor dan industri,” katanya.

Beliau berkata, Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP yang menjadi panduan agensi itu menstruktur pelaburan dan portfolio, telah membantu dalam mengharungi tempoh separuh tahun pertama yang sangat tidak menentu.

“Sebagai contoh, pendedahan pelaburan dalam Instrumen Pendapatan Tetap telah membolehkan kami menahan teguh semasa tempoh kemerosotan pada permulaan suku tahun kedua.

“Ini diikuti dengan kenaikan indeks FBM KLCI dan pemulihan pasaran global pada penghujung suku tahun kedua berikutan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat,” katanya. -Malaysiapost