PRN Sabah: Rumah calon Bebas terbakar

0
1


RUMAH calon Bebas, Abdul Rahman Kongkawang di Kampung Muanad 3, di Beluran terbakar, petang tadi.

Abdul Rahman adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk dan bertanding semula di kerusi itu sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Rastam Keladi, berkata bomba menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 2.35 petang sebelum menghantar enam anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, rumah terbabit terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai dan bomba mengalami kesukaran untuk mendapatkan sumber air bagi memadam kebakaran.

“Kebakaran membabitkan rumah jenis tidak kekal dan sebuah kereta turut terbakar.

“Api dapat dikawal daripada merebak ke rumah lain sejam selepas itu,” katanya.

Rastam berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Pada PRN ini, Abdul Rahman berdepan saingan empat penjuru di kerusi itu membabitkan calon daripada Perikatan Nasional (PN), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). -Malaysiapost