TERDAPAT 23 sungai berada pada paras bahaya dan amaran setakat pagi ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 13 sungai berada pada paras bahaya iaitu sembilan di Pahang, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Selangor serta Johor.
“Sebanyak 10 sungai berada pada paras amaran, iaitu masing-masing dua di Pahang, Kelantan, Melaka dan Sarawak. Masing-masing satu di Selangor dan Johor.
“Ini berdasarkan laporan diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat jam 2.30 pagi tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat operasi bencana banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini.
Sementara itu Acryl Sani berkata, sebanyak 137 jalan di empat negeri masih ditutup kepada pengguna jalan raya iaitu 120 jalan di Pahang; Selangor (12); Kelantan (3) dan Negeri Sembilan (2). – Malaysiapost

