DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganalisis situasi banjir besar yang melanda negara ketika ini secara holistik.
Ketuanya Shahir Adnan, berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang ditubuhkan selepas banjir besar 2014 dilihat gagal bertindak pantas dalam situasi bencana kali ini.
Katanya, NADMA ditubuhkan untuk mengambil alih tanggungjawab pengurusan bencana alam dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), jadi tidak timbul soal menunding jari kepada mana-mana agensi lain.

“Aset-aset lain juga gagal digerakkan dengan cepat, walhal kita berbangga mempamerkan aset-aset tersebut pada perarakan Hari Kemerdekaan. Bot kecil, sampan, kenderaan amphibia dan sebagainya tidak digunakan dengan cepat.
“Rakyat Malaysia bernasib baik dengan tindakan pantas rakyat kita sendiri yang membawa bot-bot dan sampan kecil persendirian untuk menyelamatkan mangsa banjir.
“DPIM turut mengucapkan tahniah kepada pihak ATM, APM, PDRM, Bomba dan semua agensi terlibat yang turun ke ‘ground zero’ dalam misi menyelamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, adalah tidak wajar apabila ada sebilangan Menteri menjadikan situasi banjir ini sebagai propaganda politik dengan membawa pegawai iringan hanya untuk ‘lensa kamera’.
“Justeru, pasca banjir adalah keadaan yang perlu diteliti sekarang. Demi kelangsungan hidup, bantuan kewangan perlu disalurkan secepat mungkin tanpa kerenah birokrasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, banjir besar yang mengorbankan 34 nyawa adalah satu jumlah yang tinggi dengan 14 mayat ditemui di Shah Alam sahaja.
Katanya, selain itu, ramai yang kehilangan tempat tinggal dan ada yang hanya tinggal sehelai sepinggang.

“Jabatan Meteorogi Malaysia telah mengeluarkan amaran awal berkenaan hujan lebat yang bakal melanda. Namun, tiada peringatan tambahan oleh mana-mana pihak untuk menyedarkan rakyat bahawa hujan lebat kali ini adalah luar biasa.
“Disebabkan itu, ramai yang menyangka ianya hanya sekadar hujan lebat biasa yang dialami kebiasaannya di Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, Shahir berkata, pihaknya juga menyantuni mangsa banjir sekitar Shah Alam, Subang dan Puchong yang ditempatkan di Masjid Al Falah, Subang serta memberi sumbangan kepada untuk meringankan beban mangsa. – Malaysiapost

