PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri, Tan Sri Noh Omar membidas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung mendapat panggilan untuk mempengerusikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor ekoran bencana banjir di negeri tersebut.
Noh berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Amirudin itu seolah-olah menyalahkan beliau menghalangnya untuk bertindak menyelesaikan isu banjir.
“Sekarang ini beliau kata akan kembali sebagai Pengerusi MKN menggantikan saya.
“Sebenarnya itu tidak betul. Beliau bukan menggantikan saya. Saya masih lagi Pengerusi Pengurusan Keselamatan.
“Yang beliau ganti itu, tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SS) yang diambil alih iaitu di bawah Arahan MKN 20,” katanya.
Semalam, media melaporkan Amirudin akan kembali semula mempengerusikan MKN Selangor.
Sementara itu, memetik laporan MalaysiaKini, Noh menjelaskan bahawa terdapat dua arahan melibatkan fungsi tugas dalam MKN iaitu Arahan MKN No.1 dan Arahan MKN No.20.
Menurutnya, Arahan MKN No.1 berfungsi dalam pengurusan keselamatan manakala Arahan MKN No.20 pula fokus pengurusan bencana.
“Saya nak sekolahkan MB Selangor ini supaya MB Selangor ini memahami arahan-arahan dan pentadbiran kerajaan.
“Kalau sebagai menteri besar beliau tak memahami arahan-arahan pentadbiran kerajaan, maka sebab itu kita lihat persiapan banjir Selangor kelam kabut,” katanya. – Malaysiapost

