SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menunggu keputusan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sama ada perlu untuk mengisi kekosongan kerusi DUN Kempas susulan kematian penyandangnya, Datuk Osman Sapian.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia sekali gus menentukan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kempas diadakan.
“SPR mengambil maklum berhubung dengan status kekosongan luar jangka kerusi DUN N.47 Kempas, Johor ekoran penyandangnya Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia semalam.
“Sehubungan itu, di bawah perkara 23(5) Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1985 kekosongan sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam 60 hari dari tarikh yang dipastikan oleh SPR kekosongan berlaku.
“Seandainya kekosongan luar jangka dipastikan pada satu tarikh dalam masa dua hari dari tarikh Dewan Negeri akan terbubar, maka tiada keperluan mengisi kekosongan itu melainkan jika Speaker memberitahu SPR secara bertulis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat memaklumkan PRK DUN Kempas tidak perlu diadakan.
Suhaizan berkata, ini kerana kekosongan kerusi itu berlaku lebih daripada tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu pada Mei 2018.
Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor, meninggal dunia di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur, pada jam 11.45 malam tadi. – Malaysiapost

