MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kesal dengan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang menolak usul bagi membincangkan isu banjir di Parlimen, baru-baru ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata Azhar Azizan jelas sama sekali tidak peka terhadap hal rakyat yang berada dalam keadaan kecemasan susulan tindakan lambat kerajaan melancarkan operasi bantuan.
“Dalam keadaan puluhan ribu rakyat sedang berhadapan banjir yang memyebabkan kehilangan nyawa, kerosakkan serta kemusnahan harta benda, terputus bekalan makanan dan ada yang menunggu berjam-jam diatas bumbung rumah untuk menyelamatkan diri.
“… malangnya YDP menolak desakan Ahli Parlimen pembangkang untuk segera berbahas (isu banjir) di dewan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kecewa malah mengecam sikap Azhar Harun yang tidak memperlihatkan sikap mengutamakan nasib rakyat.
“Di Dewan Rakyat yang bersidang pada hari terakhir itu, rakyat terpaksa bertindak sendiri tanpa apa-apa bantuan kerajaan.
“Di tengah-tengah situasi rakyat bertarung nyawa, YDP Dewan Rakyat tidak mahu isu mendesak itu dibincangkan.
“Di saat cemas itu ada rakyat yang hilang semuanya bila banjir menghanyutkan seluruh rumah mereka,” katanya.
Mohd Azmi berkata, semua maklum dan sedar bahawa keadaan banjir kali ini berskala besar yang memerlukan tindakan pantas kerajaan terutama dalam situasi Covid-19.
“Soalnya kenapa Dewan Rakyat dibisukan dari berbincang hal yang sangat kritikal ini.
“Terlalu banyak soalan perlu diketengahkan di saat genting itu di Dewan Rakyat. Kenapa aset kerajaan dari pelbagai agensi lambat dihantar?
“Kenapa kerajaan gagal bertindak pantas selain hanya umum bantuan RM1,000 setiap keluarga mangsa dinyatakan oleh Perdana Menteri sedangkan rakyat nantikan ialah bantuan segera,” soalnya.
Selain itu, beliau mempersoalkan mengapa tiada koordinasi antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sehingga ATM tidak dibenar bertindak.
“Kami terharu melihat pelbagai NGO dan ahli politik pembangkang bertindak bersendirian mengerah tenaga untuk langsung membantu rakyat.
“Malah pelbagai usaha rakyat membantu sesama sendiri menunjukkan kerajaan gagal berfungsi pantas untuk menguruskan penderitaan rakyat.
“Justeru, kami menggesa Perdana Menteri bertindak di atas kelemahan kerajaan dan memastikan agensi-agensi yang berkaitan membantu rakyat serta-merta,” katanya.
Isnin lalu, sidang Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Azhar Azizan tidak membenarkan beberapa ahli Parlimen blok pembangkang dan kerajaan membahaskan isu berkenaan situasi banjir yang melanda negara ketika ini.
Tegas Azhar Azizan, perkara itu tidak boleh dibahaskan memandangkan ia tidak terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) sidang Dewan Rakyat. – Malaysiapost

