Bapa Ainul Mardhiah balas jasa rakyat Malaysia

0
2

PERNAH bergantung harap kepada doa dan bantuan jutaan rakyat Malaysia terhadap nasib dialami anak sulungnya dua tahun lalu mendorong Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 26, tampil mengumpul hampir 10 tan barangan keperluan untuk membantu mangsa banjir di Lembah Klang esok.

Bapa kepada Ainul Mardhiah, 3, yang menghidap tumor di bahagian mulut dan diterbangkan ke London untuk menjalani pembedahan itu berkata, dia masih ingat jasa dan pengorbanan dilakukan rakyat seluruh negara terhadap anaknya itu ketika baru berusia lapan bulan pada 2019.

“Sebenarnya, kalau ikut perancangan asal, kami bercadang untuk bergerak sendiri membantu mangsa banjir luar biasa di Selangor dan Kuala Lumpur sebagai balasan kepada mereka yang pernah membantu keluarga kami dua tahun lalu.

“Tapi bila kenangkan kemampuan tulang empat kerat yang terhad, kami buka peluang kepada penduduk Melaka untuk turut sama membantu sehingga barangan keperluan disumbangkan kini sudah hampir 10 tan.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka rakyat begitu pemurah dan anggaplah ini sebagai pengantara Ainul Mardiah untuk membalas jasa mereka,” katanya ketika ditemui media di kedainya, Asar Halmart di Ayer Molek, Melaka hari ini.

Menurutnya, dia dan isteri Nurul Erwani Zaidi, 24, bagaimanapun tidak mengambil sebarang bentuk bantuan tunai daripada penyumbang, sebaliknya hanya menerima barangan keperluan asas untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

“Kami bukanlah badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang boleh mengutip dana, sebab itu kami hanya menerima sumbangan barangan, itu pun terpaksa dipilih kerana tidak mahu berlaku lambakan barang sehingga menyebabkan pembaziran.

“Setakat ini pun, kami menerima terlalu banyak pakaian sehingga tidak cukup tempat untuk letak sebelum bergerak ke Kuala Lumpur jam 8 pagi esok.

“Saya harap, adalah lebih baik kalau kita dapat fokuskan kepada barangan lain yang lebih diperlukan seperti air mineral, tuala wanita, pakaian dalam wanita, pampers dan lilin,” katanya.

Sementara itu ibu tunggal, Alina Abu Othman, 52, berkata, dia terpanggil untuk menyumbang pakaian wanita yang masih baharu kerana sangat tersentuh dengan nasib dialami mangsa bencana banjir berkenaan.

“Kalau ada kudrat dan masih muda, rasanya dah lama saya sampai ke sana untuk menjadi sukarelawan tapi apakan daya setakat ini sahajalah yang dapat saya bantu.

“Pilu hati melihat kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Saya doakan semua mangsa terus tabah menghadapi ujian ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here