KAEDAH penebukan benteng dan pengepaman air banjir akan digunakan bagi mengatasi air banjir ‘termenung’ yang berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kaedah itu akan dilaksana secepat mungkin oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) yang menggunakan 21 pam untuk mengalirkan air banjir itu ke Sungai Klang.
“Lokasi tepat untuk penebukan benteng itu masih belum dimuktamadkan dan ia akan diputuskan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.
“Kerja penebukan sementara ini perlu dilaksanakan segera, kerana keadaan air genang dan sekiranya dibiarkan akan berlarutan sehingga dua minggu,” katanya pada sidang media khas, lapor FMT.
Mengulas situasi banjir di Taman Sri Muda, beliau berkata kira-kira 2,000 penduduk masih terperangkap kerana enggan berpindah dari kawasan berkenaan.
Difahamkan sebab utama mereka enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), kerana bimbang dijangkiti wabak Covid-19.
“Kami akan terus membantu mereka yang enggan berpindah ini dengan cara menghulurkan bantuan makanan dan keperluan asas,” katanya. – Malaysiapost

