SITUASI pasca banjir di Sungai Lui, Hulu Langat digambarkan mirip peristiwa banjir besar yang melanda Kelantan tujuh tahun lalu.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemusnahan harta benda selain dilimpahi selut lumpur tebal di kawasan berkenaan saling tidak tumpah seperti bencana yang melanda pada 2014 itu.
“Semalam saya di Sungai Lui Hulu Langat, antara kawasan yang paling teruk setakat yang menghimbau memori saya kepada peristiwa musibah banjir besar Kelantan 2014.
“Suasana rumah yang musnah dan rosak teruk, kenderaan yang terbalik, air selut yang tebal,udara berdebu tidak ubah seperti keadaan di Manik Urai dulu,” katanya di Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Asyraf menyarankan kepada individu atau kumpulan yang ingin membantu mangsa banjir untuk membekalkan barang keperluan yang mendesak seperti bekalan air bersih untuk minuman, bantal, tilam, tikar dan selimut.
Antara lain barang keperluan penting untuk dibekalkan kepada mangsa banjir ialah keperluan mandi dan membersih diri, tuala wanita, susu dan pampers kanak-kanak, makanan siap dimasak dan makanan segera seperti biskut dan roti.
“Jangan tertumpu hanya kawasan luar tepi jalan seperti sekitar Dusun Tua, masuklah ke dalam kerana banyak tempat masih belum cukup menerima bantuan.
“Semoleknya boleh juga ke Dewan Orang Ramai atau masjid yang diselaraskan bantuan oleh kepimpinan kampung dan lokaliti,” katanya.
Sementara itu, Asyraf memberitahu, Pemuda Umno telah menghantar sebuah lori yang sarat dengan barang keperluan seperti mineral, pampers, susu budak, maggi dan biskut hasil sumbangan orang ramai juga.
“Kami mengalu-alukan sebarang sumbangan orang ramai untuk terus membantu kerja-kerja amal kebajikan Skuad Sabil dan Sukarelawan Pemuda Umno Malaysia.
“Semoga bantuan anda akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang dilanda musibah ketika ini,” katanya. -Malaysiapost

