Bertindak segera elak lebih banyak korban banjir – Isham Jalil

0
2

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil menyarankan kerajaan segera membuat keputusan dan bertindak bagi menangani krisis banjir, agar mengelakkan risiko kematian yang tinggi.

Isham berkata, terdapat kemungkinan ramai yang akan maut dan mati lemas
dalam musibah banjir di Selangor ketika ini.

“Justeru, saya mempunyai banyak pengalaman mengharungi banjir di kampung semasa kecil. Apabila dewasa, saya pernah ditugaskan oleh YAB Perdana Menteri untuk menangani krisis banjir di pantai Timur Semenanjung terutama di Kelantan semasa banjir besar pada 2014.

“Jadi, apabila krisis seperti ini berlaku, masa tindakan perlu cepat supaya rakyat tidak menunggu-nunggu untuk bantuan terutama bantuan makanan.

“Faktor masa ini adalah amat penting. Dalam krisis, adalah lebih baik kita condong kepada mengambil tindakan dan keputusan cepat dan tersasar daripada lambat dan berhati-hati, kerana jika kita lambat risikonya adalah kematian orang ramai,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan sekiranya kawasan terbabit masih dinaiki air, cuaca buruk atau sukar untuk bot memasuki maka helikopter perlu memainkan peranan dalam misi menyelamatkan mangsa atau memberikan bekalan makanan.

“Pada hari pertama banjir di Kelantan, saya antara yang pertama tiba bersama anggota tentera membawa bantuan makanan melalui pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia di Pengkalan Chepa. Di samping makanan, kami juga telah membawa bot-bot tambahan dari Subang.

“Pada ketika itu air masih naik dan ramai mangsa terperangkap di atas bumbung dan ramai juga lari ke atas bukit. Sejak hari pertama, anggota tentera, polis dan JPAM telah digerakkan untuk memindahkan mangsa melalui bot-bot dan helikopter.

“Pada masa yang sama bantuan makanan telah disampaikan melalui helihopter sehingga ke bukit-bukit di Kuala Krai dan Gua Musang. Saya sendiri telah menaiki helikopter-helikopter dan bot-bot ini untuk ke kawasan-kawasan banjir,” katanya.

Menurutnya, beliau turut berbincang dengan Panglima Tentera Darat pada ketika itu tentang bagaimana untuk menghantar makanan melalui helikopter apabila angin terlalu kuat dan hujan masih mencurah.

“Oleh kerana bahaya untuk menggantung kret di helikopter dan tiada tempat untuk mendarat, kami telah membawa apa yang boleh di dalam helikopter dan terpaksa mencampakkan pek-pek makanan dari udara di sesetengah tempat kepada mangsa di atas bumbung dan di atas bukit yang kelaparan,” katanya.

Beliau berkata, salah satu faktor kejadian banjir besar di Kelantan dahulu adalah disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

“Di Selangor, aktiviti pembalakan tidak sebanyak di Kelantan. Namun kerajaan perlu melihat sistem perparitan di kawasan-kawasan bandar kerana apabila hujan turun lebih daripada biasa, parit dan longkang yang tersumbat serta sungai yang cetek akibat selut dari aktiviti pembinaan akan memburukkan keadaan berpuluh kali ganda,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here