Operasi menyelamat mangsa banjir Taman Sri Muda dilipatganda – PM

0
2

USAHA menyelamat mangsa banjir yang masih terperangkap di Taman Sri Muda, Selangor sedang giat dilaksanakan tanpa henti dan dilipatgandakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dijalankan oleh anggota penyelamat, hari ini menggunakan lebih 41 bot dan 16 buah lori juga aset-aset lain bagi memindahkan penduduk yang masih terperangkap di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan makanan bermasak untuk dihantar ke rumah mangsa dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), manakala kerja menyelamat dilaksanakan tanpa henti.

“Pemindahan lebih 500 mangsa banjir sudah bermula sejak Jumaat lalu melibatkan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong.

“Saya memahami kebimbangan rakyat terhadap mereka yang masih terkandas dan seperti yang saya tegaskan, usaha menyelamat sedang giat dilipatgandakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota pelbagai agensi yang sehingga kini masih berkerja keras tanpa henti dalam usaha menyelamatkan mangsa.

“Saya juga berterima kasih kepada sukarelawan , Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli Keluarga Malaysia yang menghulurkan bantuan termasuk wakil rakyat.

“Saya akan terus memantau perkembangan ini dan terus berdoa semoga keadaan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here