Tanah runtuh: warga emas cedera, 4 rumah rosak

0
2

KEJADIAN tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur awal pagi tadi telah menyebabkan empat rumah rosak dan seorang wanita warga emas cedera.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 1.22 pagi, menggerakkan 15 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail dan BBP Sri Hartamas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Operasi turut disertai lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), 11 anggota polis serta tiga petugas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Komander Operasi Kanan, Penguasa Kanan Bomba 1 Khairul Azuwan Ibrahim, berkata sebaik pasukan bomba tiba di tempat kejadian mendapati empat kediaman di situ rosak akibat dihempap tanah runtuhan.

“Kita turut menemui seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an dalam keadaan tubuhnya tertimbus sehingga ke paras pinggang.

“Mangsa berjaya diselamatkan dan mengalami kecederaan di bahagian kaki seterusnya dihantar ke PPUM menggunakan kenderaan EMRS bomba untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Azuwan berkata, pasukan bomba kemudian memeriksa kawasan sekitar lokasi kejadian dalam memastikan tiada lagi sebarang keberbahayaan dan tempat berkenaan turut ditutup atas faktor keselamatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here