KKMM salur bantuan segera RM2.18 juta untuk mangsa banjir

0
2

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa bencana banjir berjumlah RM2.18 juta yang disumbangkan melalui agensi di bawah KKMM yang akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau telah meminta pihak kementerian mengambil tindakan serta merta menggerakkan semua aset, bantuan dan kakitangan termasuk Komuniti Keluarga Malaysia untuk membantu penduduk di kawasan terlibat banjir sejak semalam.

“KKMM telah menggerakkan sebanyak 12 kenderaan 4×4 dan mewujudkan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di agensi KKMM yang mempunyai ruang dan fasiliti bersesuaian.

“Buat masa ini PPS disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang yang boleh menempatkan 1,000 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar berkata, semua Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di negeri yang terjejas banjir bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan dan bomba dalam melaksanakan usaha memulihkan perkhidmatan internet di kawasan yang terlibat.

Selain itu, jelasnya, MyCreative Ventures di bawah KKMM juga menyumbangkan 2,000 unit Kotak Kasih berupa bakul makanan dengan kerjasama Shopee Malaysia untuk mangsa banjir.

Beliau berkata, pada masa sama, kerjasama juga dijalinkan dengan Rumah Prihatin @Grand Seasons, Kuala Lumpur dengan bantuan sejumlah 2,000 pek makanan disediakan setiap hari dan sejumlah 50 bilik penginapan sementara untuk mangsa banjir.

“Kementerian juga telah mengenal pasti 130 keluarga warga KKMM dan agensi menjadi mangsa banjir dan bantuan segera berbentuk makanan dan pakaian turut disalurkan kepada mereka.

“Saya menggesa orang ramai untuk terus mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir daripada sumber yang sahih dan RTM serta BERNAMA akan terus bekerjasama untuk menyalurkan maklumat yang tepat dan pantas.

“Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) melalui Info on Wheels (IOW) juga akan melaksanakan hebahan awam di peringkat daerah seluruh negara dengan tumpuan di kawasan banjir dan berpotensi banjir,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan di Rumah Prihatin @Grand Seasons, Kuala Lumpur melalui talian bebas tol 1800-88-7997 atau talian Bilik Gerakan Bencana KKMM di 03-88618427.

“Saya harap semua mangsa terlibat dan terkesan akibat banjir ini tabah dalam menghadapi ujian ini dan segala bantuan diperlukan akan diberikan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjamin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here