Nurul Huda Abhar
BENCANA banjir yang melanda daerah Bentong, Pahang sejak malam tadi menyebabkan hampir keseluruhan laluan masuk dinaiki air dan menyukarkan misi menyelamat.
Berdasarkan maklumat yang diterima, rata-rata penduduk terpaksa menahan diri dalam kesejukan untuk menunggu pasukan menyelamat tiba di kediaman masing-masing.
Sebuah keluarga di Kampung Chegar Medang, Benus terpaksa meredah air separas dada orang dewasa untuk menyelamatkan diri berikutan rumah mereka telah dinaiki air.
Keluarga tersebut terdiri daripada dua orang warga emas yang baru pulih dari jangkitan Covid-19, dan anak mereka yang kini masih lagi positif virus tersebut.
Lebih menyedihkan, lebih 12 jam bantuan yang ditunggu-tunggu masih belum kunjung tiba.
Penduduk di kawasan kampung itu terpaksa menunggu dalam keadaan gelap, hujan lebat sehinggakan ada yang terperangkap di loteng tingkat atas rumah mereka.
Maklumat terkini yang diterima pagi ini, mangsa banjir yang terkandas masih belum diselamatkan.
Keadaan warga emas itu dilaporkan sudah lemah terpaksa duduk dalam kesejukan dari malam tadi, dan kelaparan berikutan tiada bekalan makanan.
Menerusi perkongsian di aplikasi Whatsapp keadaan kini makin meruncing berikutan ada diantara mangsa banjir memerlukan bekalan ubat-ubatan.
Keadaan air yang deras menyukarkan penduduk sekitar untuk menghulurkan bantuan kerana kekurangan peralatan dan jentera seperti bot yang bersesuaian. – Malaysiapost

