Sumber: 123 Bahagian Umno sokong Ismail kekal PM, sedia hadapi pemilihan parti

0
3

MAJORITI ahli dan pemimpin Umno dari 123 bahagian memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memimpin negara sehingga tamat penggal 2023.

Menurut sumber yang juga salah seorang pemimpin tertinggi Umno, sokongan itu juga memberi gambaran bahawa ahli parti itu turut bersedia menghadapi pemilihan parti dalam masa terdekat.

“Secara tidak ia langsung menunjukkan sejumlah besar bahagian-bahagian Umno bersedia untuk menghadapi pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ini penting bagi memperkukuhkan parti untuk membawa suara rakyat dengan berkesan sekali gus memenangi PRU15 akan datang dengan jayanya.

“Umno tidak boleh berasa selesa selepas menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini. Jangan hanya kerana PRN Melaka, kita tergesa-gesa mahukan PRU diadakan segera dan yakin Umno sudah boleh kembali berkuasa,” katanya kepada Malaysiapost.

Semalam, Pemuda Umno mengemukakan usul supaya pemilihan parti itu ditangguhkan selepas PRU15 selain memberi mandat kepada Ismail Sabri untuk meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Dalam satu kenyataan Pemuda Umno mendakwa usul berkenaan dibawa oleh 176 Pemuda Umno bahagian.

Turut mencadangkan usul sama Puteri Umno yang mahukan pemilihan parti ditangguhkan seperti mana usul dikemukakan Pemuda Umno.

Bagaimanapun Umno bahagian Ketereh menggesa pemilihan Umno diadakan sebelum November 2022.

Dalam pada itu sumber berkata dakwaan Pemuda Umno, 176 bahagian mahu pemilihan parti ditangguhkan adalah tidak berasas.

“Kami tidak menerima apa-apa keputusan lagi daripada semua bahagian dan masih ada beberapa Ketua Pemuda dan bahagian yang belum membuat mesyuarat Pemuda di tempat masing-masing.

“Seharusnya usul utama yang perlu dibangkitkan adalah usul membantu rakyat selepas zaman endemik, usul memperkasakan ekonomi rakyat dan menjaga kepentingan rakyat patut dijadikan keutamaan Pemuda untuk dibawa semasa Perhimpunan Agong Umno nanti,” kata sumber itu lagi.

Katanya, perubahan Undi18 pada PRU15 akan datang seharusnya Pemuda Umno meneliti usul usia Ketua Pemuda Umno yang patut diturunkan- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here