DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak Pekida Malaysia supaya terus membantu kerajaan bagi merancakkan kembali ekonomi negara melalui rangkaian ‘business circle’ yang dimiliki dalam jemaahnya.
Justeru Perdana Menteri berharap agar ahli jemaah dapat meluaskan jajaran perniagaan industri makanan yang dilihat menjadi satu potensi dalam rantaian makanan yang luas di negara ini.
“Saya difahamkan ramai ahli jemaah yang terlibat dalam perusahaan pemprosesan seperti menghasilkan kicap, sos dan sebagainya. Sebahagian besar pula terlibat dalam kegiatan penjaja dan aktiviti logistik.
“Melalui keahlian lebih 350,000 orang seluruh negara, aktiviti keusahawanan dan perniagaan dalam kalangan ahli ini juga menjadi satu kelebihan kerana dapat membekalkan produk yang dihasilkan secara terus kepada pelanggan tanpa melibatkan orang tengah.
“Selain itu, gunakanlah kepakaran yang ada dalam jemaah untuk membantu ahli khususnya menarik golongan muda dalam meningkatkan kemahiran diri yang bersesuaian keperluan teknologi terkini seperti ekonomi digital yang begitu penting khususnya ketika era pandemik,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pekida ke-25 malam ini.
Ismail Sabri berkata pada masa sama, golongan muda jemaah Pekida Malaysia juga adalah pelapis pemimpin masa hadapan yang perlu dilengkapkan dengan pendidikan, kemahiran teknikal, terutama ilmu agama yang dilihat menjadi penerus kepada kelangsungan gerakan berbaiah di negara ini.
Katanya, Pekida Malaysia juga dilihat sebagai satu wadah dalam penyatuan masyarakat di negara ini.
“Persepsi negatif masyarakat yang menganggap Pekida Malaysia sebagai sebuah ‘kongsi gelap Melayu’ perlu dihakis dengan menganjurkan lebih banyak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan supaya imej pertubuhan ini lebih menonjol dalam masyarakat.
“Sekiranya ada ahli-ahli yang cuba menyuntik atau mencambahkan elemen negatif sedemikian, menjadi tanggungjawab kepimpinanan untuk membersihkannya segera supaya imej Pekida Malaysia tidak lagi tercemar,” katanya. – Malaysiapost

