BARISAN Nasional (BN) yang ditunjangi Umno tetap dengan pendirian untuk bergerak sendirian dan tidak mahu terikat dengan mana-mana parti lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu dinyatakan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sambil menegaskan kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 mestilah kerajaan yang mendapat majoriti besar.
Ini sekali gus kata Timbalan Presiden Umno itu, akan membawa kepada kestabilan politik selain berpegang kepada resolusi Perhimpunan Agung Umno 2020 yang tidak mahu kerjasama dengan parti lain.
“Jelas sekali Umno ambil jalan untuk kita berseorangan dan tidak lagi terikat mana-mana parti, kita tidak mahu sebarang ikatan yang boleh mengekang, tetapi apa jua rundingan atau ikatan adalah selepas PRU15.
“Kalau parti tidak boleh buat maka elok difikirkan bersama atau membuat ikatan dengan parti yang boleh dijadikan rakan kongsi untuk bina kerajaan yang kuat, itu juga antara usul dicadangkan dalam persidangan perwakilan Umno Rembau tadi,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mengenai sama ada soal kedudukan Perdana Menteri dibincangkan dalam persidangan itu, Mohamad berkata, tiada sebarang usul berhubungnya dibangkitkan selain meletakkan perkara itu kepada kepimpinan tertinggi parti. – Malaysiapost

